Takaful Ikhlas ringankan beban pesakit kronik
Jun 30th, 2008 by Takaful
Sumber: Berita Harian, 30hb Jun 2008BATU PAHAT: Takaful Ikhlas membantu meringankan beban kewangan yang ditanggung seorang guru agama, Baharuddin Sodono, 51, yang terpaksa berulang alik ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan lanjut penyakit yang dihidapinya.
Baharuddin berkata, beliau memerlukan perbelanjaan agak besar menjalani rawatan lanjut selepas pembedahan membuang ketumbuhan pankreas di Hospital Selayang, baru-baru ini.
Beliau yang bertugas di Sekolah Agama Rengit, berkata beliau beruntung mengambil polisi dengan Takaful Ikhlas kerana syarikat itu turut memberi perlindungan bagi penyakit kronik.
“Syukurlah, kerana Tafakul Ikhlas memberi perlindungan sepenuhnya kepada penghidap penyakit kronik dan ini meringankan beban yang terpaksa ditanggung untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui selepas menerima cek di pejabat wakil Takaful Ikhlas, di Taman Maju, di sini.
Baharuddin berkata, penyakit ketumbuhan pankreas yang dihidapinya dikesan pada 2005 dan beliau mengambil polisi dengan Takaful Ikhlas pada awal 2006.
“Nasib baik saya mengambil polisi ini, kalau tidak sukar juga kerana kos rawatan dan perbelanjaan perjalanan ke Kuala Lumpur bukan sedikit,” katanya.
Sementara itu, pengurus agensi Takaful Ikhlas itu, Mesbah Yasak, berkata pihaknya hanya mengambil masa tiga minggu meluluskan pampasan kepada Baharuddin.
Mesbah berkata, Takaful Ikhlas yang menggunakan sistem syariah sepenuhnya menyediakan polisi kepada pesakit kronik bagi meringankan beban mereka kerana kos rawatan yang tinggi.
Beliau berkata, jumlah pampasan bergantung kepada polisi yang diambil pelanggan dan pampasan diagihkan dalam masa singkat.
“Matlamat kami ialah membantu meringankan beban pesakit kronik sebab itu kami berusaha sedaya upaya menyediakan pampasan dalam tempoh paling minimum,” katanya.