Selasa, 24 April 2012

Zakat fitrah dapat melengkap ibadat


RAMADAN kini sampai ke penghujungnya dan hari ini, hari ke-28 kita berpuasa. Terasa masa pantas berlalu seperti baru semalam kita memulakan hari pertama berpuasa.
Insya-Allah, dalam tempoh dua hari lagi kita akan menyambut hari kemenangan dengan kedatangan Syawal dan ketika itu, saya sudah ada di kampung bersama ibu serta ahli keluarga lain.

Pulang ke kampung tidak bermakna saya bercuti. Istilah cuti tahun atau kecemasan seolah-olah tidak wujud dalam diri kami yang bergelar Imam Muda.

Ini kerana saya tetap menjalankan tugas seperti biasa iaitu menghadiri undangan mengimamkan solat tarawih dan menyampaikan tazkirah di sekitar Manjung, Perak.

Lusa pula, saya dijadualkan membaca khutbah dan mengimamkan solat sunat Aidilfitri, seterusnya dengan aktiviti sepanjang Syawal.

Namun, dalam baki beberapa hari ini, saya ingin menyentuh perasaan kita lantaran usia Ramadan yang sampai ke penghujungnya.


Kanak-kanak semestinya golongan paling gembira dan teruja menyambut hari raya. Namun, bagaimana pula dengan kita yang bukan kanak-kanak? Mungkin ada yang gembira kerana ‘musim kebuluran’ sudah berakhir. Sekarang boleh makan seperti biasa dan tidak perlu ‘curi-curi’ makan pada siang hari, berpura-pura lapar berpuasa, selain mungkin ada golongan yang rasa biasa saja.

Bagi mereka, Ramadan dan bulan lain sama saja. Yang membezakan Ramadan ialah tidak boleh makan pada siang hari.

Tiada usaha untuk merebut keberkatan melakukan amal dan ibadat dalam bulan ini. Mungkin kerana ia tidak nampak ganjarannya secara fizikal berbanding hasil kerja di dunia.

Bagaimanapun, mereka yang faham kebesaran Ramadan pasti akan ‘pulun sakan’ beramal mencari keberkatan dan mengharapkan sepanjang tahun tiada bulan lain melainkan hanya Ramadan.

Peluang sebulan yang ada dimanfaat sebaik mungkin dan mereka pasti sedih apabila Ramadan berakhir kerana bimbang tidak dapat bertemu lagi pada tahun depan.

Diriwayatkan oleh Jabir RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila tiba akhir Ramadan, maka langit, bumi dan malaikat menangis kerana adanya musibah bagi umat Muhammad SAW.” Lalu sahabat bertanya, musibah manakah? Lantas Rasulullah menjawab, berakhirnya Ramadan kerana dalam bulan itu doa dikabulkan, sedekah diterima, kebaikan dilipatgandakan dan seksaan dihentikan.” Sewaktu tibanya 10 malam terakhir Ramadan, Rasulullah menegakkan malam berkenaan dengan membaca al-Quran dan bersedekah, iaitu antara amalan paling disukai baginda.

Bagaimana pula keadaan kita sewaktu menempuh 10 malam terakhir ini? Adakah kita berusaha menghidupkan amalan pada tengah malam atau tidur mati bersulamkan dengkuran? Adakah kita tergolong dalam kategori pemurah atau ahli kumpulan ‘bakhil bin kedekut’? Marilah kita muhasabah diri dan menilai pencapaian Ramadan kita, tahun ini.

Bagi yang berhasil menjalankan puasa secara sempurna, Allah menjanjikan ganjaran sangat besar dengan melipatgandakan pahala ibadat serta mengampuni dosa yang pernah dilakukan.

Jiwa mereka bersih dalam keadaan fitrah seperti bayi baru lahir dan belum ada sedikitpun salah dan dosa.

Ahli tafsir menjelaskan, dosa yang diampunkan Allah ialah dosa antara kita (makhluk) dengan Allah dalam konteks hubungan manusia dengan Allah manakala dosa dalam konteks hubungan manusia dengan manusia masih tetap ada.

Justeru, Aidilfitri adalah platform terbaik untuk kita ziarah-menziarahi, merapatkan silaturahim dan memohon kemaafan sesama kita.

Jika ‘graf borang’ muhasabah atau penilaian Ramadan kali ini dalam paras ‘lulus’, kategori baik atau cemerlang, seterusnya mari kita lihat pula keputusan ‘takwa’ dalam diri kita.

Tanda aras takwa terserlah melalui empat perkara seperti dijelaskan Saidina Ali Abi Talib iaitu, yang pertama adalah perasaan takut kepada Allah SWT.

Takut kepada Allah bermaksud kita takut melakukan maksiat atau perkara dilarang-Nya serta takut balasan azab dan seksaan Allah.

Sifat takut kepada Allah sebenarnya benteng pertahanan diri bagi orang beriman daripada nikmat dan tipu daya duniawi.

Perkara kedua adalah amalan kita berdasarkan al-Quran. Al-Quran adalah kitab agung kalam Allah yang lengkap mencakupi semua aspek kehidupan manusia, termasuk urusan ekonomi, politik, sosial, teknologi, sains, sejarah, ketenteraan dan undang-undang.

Membacanya saja dikira pahala. Untuk beramal dengan al-Quran, kita dikehendaki belajar memahami, meneroka dan menghayati isi kandungannya.

Perkara ketiga reda dengan sedikit yang ada pada diri. Sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah beri tanpa mengira sedikit atau banyak.

Ini kerana sedikit atau banyak rezeki Allah beri bukan diukur dengan ketebalan atau nipis poket seseorang.

Allah Maha Pemurah dan jika kita hendak nilaikan nikmat oksigen untuk kita bernafas dalam sehari sudah tidak terhitung besarnya.

Justeru kita hendaklah sentiasa bersangka baik kepada Allah. Kita perlu percaya apa dianugerahkan-Nya pilihan terbaik buat diri kita.

Allah SWT dalam surah Ibrahim, ayat 7, berfirman: “Jika kamu bersyukur, nescaya kami tambah nikmat- Ku untukmu, dan jika kamu kufur, nescaya azab-Ku sangat pedih.” Perkara keempat dan terakhir pula, sentiasa bersiap sedia untuk bertemu Allah atau bersedia untuk mati.

Tiada seorang pun di dunia yang tahu bila, di mana dan bagaimana dia akan mati tetapi yang pasti, kematian itu datang secara tiba-tiba.

Kematian bermakna kita ‘berangkat’ meninggalkan dunia menuju alam barzakh, satu perjalanan jauh yang akan dilalui setiap makhluk Allah.

Lazimnya, jika hendak berjalan jauh, pasti kita ‘pack’ barangan keperluan sebagai bekalan dalam perjalanan.

Ia sama dengan diri kita. Sebelum dijemput tiba-tiba, kita penuhkan beg yang ingin dibawa dengan amalan sebagai bekal di akhirat.

Rasulullah SAW pernah ditanya seorang Ansar, siapakah paling cerdik di kalangan orang beriman. Baginda berkata orang paling cerdik ialah mereka yang banyak mengingati mati dan membuat persiapan menghadapi mati.

Ini adalah empat perkara yang perlu dilihat bagi meneliti nilai takwa kita. Jika ia wujud, sesungguhnya ‘akademi puasa’ yang kita jalani selama sebulan berjaya.

Namun, jika ‘markah penilaian’ di bawah paras lulus, manfaatkan masa yang masih ada sebaik-baiknya supaya bekalan untuk perjalanan di akhirat mencukupi.

Saya masih ingat penerangan seorang ustaz, puasa kita ibarat sehelai kain putih. Apabila seseorang itu melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan pahalanya ‘kurus’, kain putih itu akan berlubang-lubang.

Jadi, dengan menunaikan zakat fitrah, ia akan menampal lubang pada kain itu.

Hal ini jelas seperti hadis daripada Ibnu Abbas RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Mewajibkan zakat fitrah itu sebagai pembersih bagi orang yang berpuasa daripada perbuatan yang sia-sia dan perkataan kotor dan sebagai makanan bagi orang miskin.

“Kerana itu, sesiapa yang menunaikan zakat selepas solat (Aidilfitri), ia adalah satu sedekah daripada sedekah biasa.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah).

Tunai haji ketika muda

MENUNAIKAN haji di Makkah adalah impian setiap umat Islam. Walaupun diketahui rukun Islam kelima ini hanya wajib bagi mereka yang mampu tapi kerana istimewanya ibadat haji ini, ramai daripada kita menyimpan hasrat melaksanakannya dan mengumpul duit kerananya.
Tidak terkecuali diri saya yang sememangnya sentiasa memasang impian ketika remaja lagi untuk ke tanah suci.

Ketika itu saya hanya mampu memasang angan-angan selain berdoa kepada Allah agar membukakan jalan untuk saya ke sana suatu hari nanti. Maklumlah, saya bukanlah orang yang berada menyebabkan saya bertekad untuk mengumpul wang bagi merealisasikan cita-cita itu. Oleh kerana pendapatan yang sederhana serta batas-batas kewangan yang dilihat sebagai tembok penghalang, saya tidak tahu bila agaknya impian saya itu akan tercapai dan hanya mampu berdoa dipermudahkan.

Namun begitu, Allah telah mengatur perjalanan hidup hamba-hamba-Nya dengan sebaik-baiknya.

Siapa sangka, dengan kemenangan sewaktu menyertai program Imam Muda Kedua akhirnya melayakkan saya untuk menerima pakej hadiah untuk menunaikan haji di Makkah yang ditaja oleh Salamfone.

Alhamdulillah, tepat jam 11 malam (waktu di Malaysia) pada 25 Oktober yang lalu, saya bersama-sama jemaah haji yang lain akhirnya menjejakkan kaki di lapangan terbang Jeddah untuk memenuhi tuntutan rukun Islam yang kelima itu.


Menjadi tetamu Allah untuk menunaikan haji pada usia muda adalah nikmat yang tidak pernah tergambar dalam benak fikiran saya.

Benarlah sebagaimana firman Allah SWT menerusi surah Al-Baqarah, ayat 186, yang bermaksud: “Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa, maka apabila ia berdoa kepada-Ku hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu.’’ Sebagai orang yang beriman, kita hendaklah sentiasa bersangka baik kepada Allah dengan mempercayai setiap doa yang baik itu lambat-laun pasti dimakbulkanNya Bagaimanapun, ia mungkin dimakbulkan dalam kadar segera ataupun lambat kerana hanya Allah yang mengetahui apa yang terbaik bagi setiap hamba-Nya.

Jadi, saya ingin mengimbas kembali nikmat haji ini dengan penulisan saya minggu lalu yang menyentuh mengenai taubat.

Sebenarnya, sewaktu balik daripada program di Jakarta, Indonesia baru-baru ini, saya ada berkongsi luahan dengan seorang kakitangan kerajaan di lapangan terbang.

Beliau menyatakan segelintir masyarakat terutamanya umat Islam mempunyai persepsi bahawa taubat hendaklah dilakukan melalui umrah atau haji. Ada asasnya juga pandangan beliau itu kerana kita sering mendengar di dalam dialog-dialog drama mahupun perbualan seharian, apabila diajukan soalan: “bila nak bertaubat?”, jawapan yang kadangkala kita dengar adalah, “...tunggulah aku pergi haji dulu.” Ini adalah persepsi yang perlu diperbetulkan kerana Allah tidak meletakkan syarat tempat untuk hamba-Nya memohon keampunan.

Allah suka dan sentiasa mendengar hambanya yang merintih memohon keampunan daripada-Nya.

Ini adalah berdasarkan firman Allah dalam Surah Az-Zumar ayat 53 yang bermaksud: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya, Dia jugalah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Jadi, kalau disingkap kembali hikmah di sebalik ibadah haji ke atas umat Islam, ibadah haji adalah rukun Islam kelima dan dikatakan juga sebagai rukun yang terakhir.

Pendek kata, ibadah haji adalah pelengkap kepada kesempurnaan rukun Islam. Meskipun begitu, pelaksanaan rukun Islam yang kelima ini agak berbeza daripada rukun Islam yang lain. Ibadah haji juga adalah kesempatan untuk bertaubat dan meminta ampun kepada Allah. Kewajipan ke atas umat Islam untuk mengerjakan haji ini adalah berdasarkan firman Allah, yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.” (Ali Imran: ayat 97).

Setiap ibadah haji yang sempurna memerlukan pengorbanan di segi tenaga, masa, wang dan perasaan yang perlu dicurahkan demi memenuhi tuntutan Allah.

Ibadat haji bukan saja berkehendakkan kita untuk mengorbankan tenaga, masa dan perbelanjaan yang banyak, bahkan ia juga membabitkan emosi kerana terpaksa berpisah dengan keluarga, harta kekayaan dan kampung halaman selain terpaksa menahan kemahuan nafsu ketika dalam ihram.

Selain itu, uniknya ibadah ini kerana ia cuma boleh dilakukan sekali setahun, iaitu dalam bulan Zulhijjah. Ibadah ini juga berkehendakkan kita untuk menunaikannya di Makkah al-Mukarramah di Arab Saudi, tidak seperti ibadah lain seperti solat lima waktu yang boleh dilakukan di mana- mana saja.

Ibadah haji juga memerlukan pengorbanan yang tinggi kerana kita perlu berasak-asak bersama jutaan umat Islam daripada seluruh dunia berbeza dengan ibadah lain yang tidak meletakkan syarat yang khusus dan lebih mudah dilakukan.

Itulah keunikan ibadah haji yang hanya terdapat di dalam agama Islam dan tidak wujud dalam agama lain. Malah, sewaktu melaksanakan haji, terdapat beberapa tempat yang mustajab untuk berdoa dan bertaubat.

Ibadah haji itu sendiri, jika dikerjakan dengan sempurna tanpa dicemari perbuatan- perbuatan keji, akan menyucikan diri seseorang itu daripada dosa seperti baru lahir ke dunia.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang melakukan ibadah haji ke Baitullah dengan tidak mengucapkan perkataan keji, tidak berbuat fasik, dia akan kembali ke negerinya dengan fitrah jiwanya yang suci ibarat bayi baru lahir daripada perut ibunya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kerana itu juga, saya katakan peluang menjejakkan kaki di tanah suci ini juga adalah platform istimewa untuk melaksanakan taubat.

Taubat di tanah suci melalui ibadah haji dan umrah adalah bonus untuk mereka yang mampu kerana di sinilah terletaknya tanah penuh berkat dan kiblat umat Islam.

Di sini jugalah antara tempat-tempat yang disarankan untuk berdoa serta memohon keampunan daripada Allah. Atas minat dan kesedaran tentang besarnya ganjaran menunaikan ibadah di tanah suci ini jugalah, saya pernah bercita-cita untuk membuka sendiri agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan jemaah ke tanah suci.

Alhamdulillah, Allah bukakan jalan dan saya bersama-sama rakan lain yang telah berpengalaman dalam menguruskan umrah kini dalam rangka menyediakan pakej Umrah bersama Imam Muda Hassan yang akan dilancarkan tidak lama lagi, di bawah kendalian syarikat saya sendiri.

Insya-Allah, ada kelainan melalui pakej umrah ini. Melalui program penyucian sanubari yang dirangka secara rapi, jemaah bukan saja dapat beribadah tetapi bakal mendapat input yang amat berguna sekembali mereka dari Tanah Suci nanti.

Ragu kesucian modal

KETIKA institusi kewangan Islam berkembang pesat di seluruh dunia, termasuk Malaysia, wujud beberapa isu yang masih dipertikai masyarakat, yang mana ia perlu diatasi segera oleh ilmuwan Islam (ulama).
Antara isu yang kerap ditimbulkan ialah berkenaan modal permulaan bagi bank Islam dan syarikat Takaful, terutama yang berasal daripada syarikat induk berorientasikan konvensional.

Saya kerap mendengar rungutan orang ramai yang mempersoalkan ‘kesucian’ modal bank Islam dan Takaful untuk permulaan perniagaan Islam.

Maklum balas ringkas yang dapat saya berikan terhadap soalan berkenaan adalah seperti berikut: A. Wang itu sendiri adalah ‘tidak haram’ dalam bentuk fizikalnya tetapi menjadi ‘haram’ disebabkan jalan untuk memperolehnya yang haram (tidak selari dengan kehendak syariah). (Ahkam al-Mal Al-Haram, Dr Abbas Al-Baz) B. Modal dan keuntungan asal yang didapati syarikat induk kepada bank Islam bukan semuanya berasal daripada perniagaan haram. Sebahagiannya daripada individu dan organisasi kerajaan dan swasta.

Jika dilihat di sisi syariah, ada perbezaan pendapat di kalangan ulama, yang mana majoriti ulama mazhab Hanafi, Ibn Qasim daripada mazhab Maliki, mazhab Hambali dan Ibn Taimiyah menetapkan harus melakukan transaksi dengan pemilik modal yang bercampur antara halal dan haram, dengan syarat majoriti modal itu datang daripada sumber halal.

Imam Ibn Nujaim pula berkata: “Apabila majoriti daripada jumlah modal atau pendapatan halal, tidak menjadi masalah untuk menerima hadiah dan makan hidangan mereka selama tiada tanda yang jelas menunjukkan ia haram.


“Bagaimanapun, jika majoriti modal atau pendapatannya haram, tidak dapat diterima hadiah dan makanan kecuali selepas disahkan kebersihannya (halal).” (Rujuk Ibn Nujaim, Asybah wa An Nazair) Imam Ibn Qaddamah pula berkata: “Jika anda tahu (atau diberitahu oleh orang yang bercampur pendapatannya) bahawa sesuatu komoditi, barang atau makanan itu daripada sumber/modal halal, maka ia halal.” (Al-Mughni) Selain itu, ulama terkenal seperti Imam As-Syawkani dan Al-Muhasibi pula berpendapat ‘dibenarkan secara total’ untuk bertransaksi dengan pemilik kepada pendapatan yang bercampur antara halal dan haram, sama ada bahagian halal dalam modal berkenaan majoriti atau minoriti. (Rujuk As-Saylur Jarar, 3/19; Al-Makasib wa al-Rizq al-Halal) Dalil mereka banyak, antaranya (rujuk as-Saylul Al-Jarar, As-Syawkani, 3/19): 1. Rasulullah SAW melakukan urusan (jual beli) dengan sahabatnya daripada kalangan penduduk Makkah sebelum Hijrah, malah juga dengan sebahagian puak kafir. Tidak pernah didengari sebarang tegahan daripada Rasulullah SAW untuk berurusan dengan mereka, padahal kebanyakan harta mereka daripada sumber haram.

2. Rasulullah SAW pernah berurusan kewangan dengan rombongan ke Madinah daripada kalangan Arab Badwi yang syirik ketika itu. Sudah tentu harta mereka dipenuhi segala jenis hasil zalim dan haram.

3. Ketika Rasulullah SAW berhijrah, baginda berurusan dengan orang Yahudi daripada kalangan penduduk Madinah dan Arab Badwi yang menghalalkan perkara haram di dalam Islam. Jika berurusan dengan mereka haram, tentu baginda akan menegah daripada awal lagi.

4. Taqir (pengakuan) Rasulullah SAW dengan membiarkan sahabat berurusan kewangan dengan kelompok orang zalim juga adalah satu dalil.

5. Jika Islam membenarkan berurusan dengan kafir yang bercampur haram dan halal hartanya, tentu Islam juga membenarkan urusan kewangan dengan Muslim yang bercampur hartanya.

6. Sahabat Rasulullah SAW juga berurusan dengan perompak Madinah pada zaman Yazid Bin Muawiyah, tiada di kalangan mereka yang mengharamkan. (Ihya Ulumuddin, Al-Ghazzali) 7. Jika muamalah seperti ini dihalang, tentu keadaan sukar akan berlaku kerana pada akhir zaman seperti sekarang, sememangnya sukar mencari sesebuah syarikat yang 100 peratus halal pendapatannya. (Ahkam al-Mal Al-Haram, Dr Abbas) Berikutan itu, adalah tidak benar untuk mengklasifikasikan keseluruhan modal bank konvensional sebagai haram dan tidak boleh digunakan sebagai modal permulaan bank Islam dan syarikat Takaful.

Tidak dinafikan, menjadi keperluan besar bagi pihak bank untuk memastikan hanya bahagian halal digunakan dan diasingkan khas untuk penubuhan bank Islam, Takaful atau bahagian perbankan Islamnya.

Bagaimanapun, jika masih ada sebahagian kecil atau minoriti modal yang haram daripada jumlah keseluruhan modal digunakan sebagai modal permulaan bagi bank Islam, saya berpendapat ia boleh dianggap sebagai Qard Hasan (pinjaman tanpa faedah) daripada syarikat induk konvensional kepada anak syarikatnya.

Berikutan itu, bank Islam boleh membersihkan modal yang diragui tadi dengan membayar balik pinjaman itu, selain menggunakan sebahagian keuntungannya untuk didermakan.

 
Kongsi artikel ini menerusi media sosial




Hutang galak kekufuran

KEADAAN umat Islam semakin memilukan apabila aktiviti berhutang menjadi asas kehidupan masyarakat hari ini. Ia mungkin tidak pelik bagi yang tidak berkemampuan, tetapi menjadi kaedah dan teknik terbaik (sebagaimana didakwa) bagi mencapai keuntungan serta mengekalkan kekayaan sesebuah syarikat atau individu.
Maka lahirlah ramai individu yang mampu membuat pembayaran secara tunai tetapi suka berhutang dalam membeli kereta dan rumah. Hujah mereka mudah, iaitu jika membayar secara tunai mereka akan rugi.
Ini satu fenomena kurang sihat, tapi dianggap sihat oleh masyarakat hari ini. Ia berpunca daripada kurangnya maklumat mengenai bahaya hutang dalam keadaan berkemampuan.

Dalam konteks semasa, kita dapat melihat bagaimana ramai peminjam enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta dan syarikat mereka hingga ada yang lebih rela diisytiharkan muflis asalkan tidak perlu membayar hutang menimbun. Ia kelihatan enak untuk tidak membayar hutang di dunia, tetapi pasti akan menjadi malapetaka di akhirat.


Minggu ini, sama-sama kita pelajari pandangan Islam dalam hal hutang. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid, kecuali jika dia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Riwayat Muslim, 6/38)

Lebih buruk lagi, ada individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Sebagaimana sabda Rasulullah: “Barang siapa meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah akan merugikannya.” (Riwayat Al-Bukhari, 2/83)

Baginda kerap mengajar umat Islam supaya berdoa dilepaskan daripada hutang: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang.” Lalu baginda ditanya: “Mengapa engkau sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Jika seseorang berhutang, apabila berbicara dia dusta, apabila berjanji dia mengingkari.” (Riwayat Al-Bukhar, 1/214)

Ada juga dalam sebuah hadis lain, ertinya: “Ya Allah, aku berlindung daripada kekufuran dan hutang.” Mendengar itu, seseorang bertanya, “Apakah engkau menyamakan kekufuran dengan hutang, wahai Rasulullah?” “Benar,” jawab Rasulullah. (Riwayat An-Nasaie, 2/316; Ahmad 3/38; Al-Hakim berkata sahih dan disepakati oleh Az-Zahabi; Menurut Albani: Dhoif)

Ini jelas aktiviti berhutang kurang sihat menurut pandangan Islam. Justeru, kita sewajarnya menjauhinya semampu boleh.

Beberapa cadangan di bawah perlu difikirkan demi memastikan tanggungan dan beban hutang kita dikecilkan. Ia seperti berikut:

1. Kad kredit: Jauhkan diri daripada menggunakan kad kredit. Selain isu riba yang hampir dengan kad kredit, ia menggalakkan hutang secara berlebihan. Malah, jika seseorang ingin menggunakannya, dinasihatkan supaya digunakan untuk memudahkan urusan pada saat yang benar-benar terdesak. Adalah lebih baik menggunakan ‘charge card’ atau ‘debit card’ saja. Jauhkan diri daripada ketagihan penggunaan kad kredit.

2. Pinjaman peribadi: Ini satu lagi produk yang boleh mengakibatkan penyakit ketagihan duit di kalangan masyarakat. Perlu disedari, seluruh jenis pinjaman peribadi secara konvensional diharamkan oleh Islam dengan sepakat seluruh ulama. Cuma hari ini, ada beberapa bank Islam dan perbankan Islam menawarkan pinjaman (pembiayaan) peribadi secara Islam.

Sebagai makluman, tidak semua bank Islam menawarkannya kerana produk ini berlandaskan konsep ‘bai inah’ (jual dan beli semula antara dua pihak sama). Konsep ini sangat kontroversi dan ditolak kebanyakan ulama Timur Tengah, namun ia diterima ulama Malaysia dan Brunei.

Apapun, kebiasaannya kadar dikenakan tinggi. Oleh itu, penggunaannya tanpa keperluan yang sangat mendesak perlu dikurangkan atau dihapuskan terus demi mengurangkan beban hutang yang ditanggung.

3. Perumahan dan kereta: Dua item ini mungkin keperluan asas bagi kebanyakan individu. Bagi saya, seelok-eloknya hutang peribadi kita dihadkan kepada dua jenis ini saja. Itupun mesti menilai kemampuan kewangan dengan sebaik-baiknya supaya tidak mendedahkan diri kepada bahaya ketidakmampuan membayar hutang. Sebarang pinjaman kereta dan rumah secara konvensional disepakati haram oleh seluruh ulama dunia.

4. Umrah dan haji sunat (kali kedua): Haji sememangnya wajib bagi umat Islam yang berkemampuan daripada segi fizikal dan kewangan. Bagaimanapun, yang wajib hanya sekali. Justeru, umat Islam perlu memahami keutamaan atau ‘awlawiyyat’ di dalam pengendalian wang peribadi.

Menurut Islam, menggunakan wang yang diperuntukkan untuk ke umrah dan haji kali kedua lebih baik dan besar pahalanya jika disalurkan bagi melupuskan pembayaran hutang peribadi.

Malangnya, ketidakfahaman umat Islam hari ini menyebabkan mereka kerap mendahulukan sesuatu yang kurang penting berbanding yang lebih penting
.

Hadapi risiko hilang upaya

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

sitiaisyah@hmetro.com.my

KESAL...Mohammad Fauzi menunjukkan tangan dan laporan perubatannya.
KESAL...Mohammad Fauzi menunjukkan tangan dan laporan perubatannya.
PUTRAJAYA: Seorang lelaki mendakwa Hospital Putrajaya tidak memberikan rawatan sepatutnya selepas dia terbabit kemalangan, sekali gus menanggung risiko hilang upaya terhadap kecuaian itu.
Kakitangan swasta, Mohammad Fauzi Abdul Halim, 41, mendakwa kejadian itu berlaku pada 28 Ogos tahun lalu selepas dia mengalami kemalangan disebabkan motosikalnya melanggar besi di kawasan Lebuhraya Maju Expressway Putrajaya-Kuala Lumpur.
Menurutnya, ketika itu dia bersama anak sulungnya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menyelesaikan beberapa urusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Saya tak perasan ada besi di jalan dan melanggarnya menyebabkan saya dan anak perempuan jatuh di jalan. Kejadian itu menyebabkan tangan kiri saya luka dan berdarah dan menelefon ambulans untuk menghantar kami ke Hospital Putrajaya.


“Ketika rawatan, doktor meminta saya menjalani X-ray serta diberikan ubat tanpa memberitahu apa-apa masalah yang dihadapi. Saya dibenarkan pulang ke rumah pada hari sama,” katanya yang mengadu perkara itu kepada Harian Metro di sini.

Mohammad Fauzi mendakwa, sebaik pulang ke rumah dia berasa sakit dan pedih pada bahagian luka berkenaan dan disebabkan tidak berpuas hati dia mendapatkan rawatan di dua klinik panel sebulan selepas kejadian.

“Bagaimanapun, saya dinasihatkan merujuk ke hospital untuk mengetahui lebih lanjut masalah dihadapi. Seterusnya, saya ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 28 Januari lalu untuk rawatan susulan.

“Selepas menjalani X-ray, doktor mengesahkan saya menghadapi masalah pada tangan kiri. Saya tidak berpuas hati dengan pihak Hospital Putrajaya kerana tidak memaklumkan masalah itu lebih awal ketika menerima rawatan di sana,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Hospital Putrajaya, Dr Mohd Anis Haron ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima aduan Mohammad Fauzi dan membuat siasatan lanjut mengenai perkara itu.

Pengorbanan terakhir adik


Oleh Rosli Ilham

2012/04/24

DUNGUN: “Adik sanggup dermakan apa saja asalkan abang selamat,” luah Muhammad Muaz Yusof, 13, kepada ibunya, Asma Ismail, 52, dua hari lalu, sejurus sebelum memasuki bilik rawatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Kuala Lumpur, Sabtu lalu, untuk menderma darah dan sum-sum tulang belakang kepada abangnya yang menderita leukemia. 

Bagaimanapun, itulah pengorbanan dan derma terakhir kepada abangnya, Muhammad Munawar, 21, apabila Muhammad Muaz, pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Sultan Omar di sini, meninggal dunia 6.50 pagi semalam, dua hari selepas menderma darah A- serta sum-sum tulang.
Asma, seorang ibu tunggal enam anak yang ditemui di rumahnya di Kampung Molek di sini, semalam berkata, Muhammad Munawar menghidap leukemia sejak empat bulan lalu dan sering mendapat rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian sebelum diarah pegawai perubatan menemui pakar di HUKM.
“Munawar memerlukan darah jenis A- serta sum-sum tulang belakang dan secara kebetulan arwah mempunyai darah jenis sama dengan abangnya sebelum kami sekeluarga ke HUKM untuk menjalani proses pemindahan darah dan sum-sum,” katanya. 

Katanya, sebelum memasuki bilik rawatan, dia ada bertanya perasaan arwah menjalani proses itu, namun arwah menjelaskan tidak berasa takut, malah sanggup dermakan apa saja demi menyelamatkan nyawa abangnya. 

“Selepas darahnya dipindahkan kepada abangnya, saya dan arwah bertolak balik ke Dungun, arwah kelihatan ceria serta tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya. 

Bagaimanapun, beliau berkata, malam kelmarin, arwah yang juga anak bongsu daripada enam beradik tidak banyak bercakap dan terus lena di sisinya sebaik masuk ke bilik tidur. 
“Kira-kira jam 6.30 pagi tadi, ketika mengejutkan arwah untuk solat subuh, saya dapati mulutnya pucat dan apabila mendapati arwah sudah tidak sedarkan diri selepas beberapa kali dikejutkan, kami membawanya ke Hospital Dungun,” katanya sambil menambah tidak lama kemudian doktor mengesahkan anaknya meninggal sudah dunia kira-kira jam 6.50 pagi semalam. 

Asma berkata, kesedihannya kehilangan suami yang meninggal dunia akibat kemalangan di Kilometer 42.2 Lebuhraya Karak pada 15 April 2011 masih terasa dan semalam (hari ini) dia sekali lagi menanggung kesedihan kehilangan anak bongsunya. 

Jenazah Muhammad Muaz dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya, Kampung Molek tidak jauh dari rumahnya selepas solat asar semalam.

Meninggal selepas dua bulan koma jatuh parit



2012/04/24

CHUKAI: Selepas lebih dua bulan bertarung nyawa akibat lemas selepas terjatuh ke dalam longkang yang dipenuhi air di Kampung Mak Cili, dekat sini pada 14 Februari lalu, Nur Hidayah Mohammad (atas), 7, menghembuskan 
nafas terakhirnya di Hospital Kemaman (HK) jam 6.52 petang kelmarin. 
Bapanya, Mohammad Embong, 48, berkata keadaan menimpa anaknya agak mengejutkan kerana sejak kelmarin arwah sudah menunjukkan perkembangan positif selepas dimasukkan semula ke hospital pada 2 April lalu akibat sawan. “Doktor memaklumkan Nur Hidayah boleh dibawa balik petang ini (kelmarin) selepas mendapati keadaannya pulih daripada demam akibat jangkitan di paru-paru.

“Namun, ketika saya datang pagi tadi (kelmarin) menghantar sarapan untuk isteri (Norizan Zakaria, 42), arwah kelihatan semakin lemah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, HK, semalam. 

Beliau berkata, kebiasaannya Nur Hidayah melawan pernafasannya yang tersekat dengan mengangkat tangan, namun pagi tadi (semalam) dia seolah-olah sudah tidak bertenaga. 

“Kira-kira jam 4 petang, isteri menelefon memberitahu keadaannya semakin nazak. Saya bergegas ke hospital dari tempat kerja,” katanya sambil menahan sebak. 
Berita Harian sebelum ini melaporkan, Nur Hidayah koma akibat lemas terjatuh ke longkang berhampiran tempat ibunya berniaga di Kampung Mak Chili pada 14 Februari lalu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu. 

Selepas dua minggu, pelajar Tahun Satu Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok Dua itu sedar daripada koma dan dibenarkan pulang untuk dirujuk ke Hospital Kemaman. 

Nur Hidayah sekali lagi dimasukkan ke HK pada 2 April lalu selepas terkena sawan akibat paru-parunya dijangkiti kuman. 

Selepas 20 hari di hospital, keadaannya semakin baik sebelum tiba-tiba kembali merosot pagi kelmarin dan meninggal dunia.