Selasa, 24 April 2012

Zakat fitrah dapat melengkap ibadat


RAMADAN kini sampai ke penghujungnya dan hari ini, hari ke-28 kita berpuasa. Terasa masa pantas berlalu seperti baru semalam kita memulakan hari pertama berpuasa.
Insya-Allah, dalam tempoh dua hari lagi kita akan menyambut hari kemenangan dengan kedatangan Syawal dan ketika itu, saya sudah ada di kampung bersama ibu serta ahli keluarga lain.

Pulang ke kampung tidak bermakna saya bercuti. Istilah cuti tahun atau kecemasan seolah-olah tidak wujud dalam diri kami yang bergelar Imam Muda.

Ini kerana saya tetap menjalankan tugas seperti biasa iaitu menghadiri undangan mengimamkan solat tarawih dan menyampaikan tazkirah di sekitar Manjung, Perak.

Lusa pula, saya dijadualkan membaca khutbah dan mengimamkan solat sunat Aidilfitri, seterusnya dengan aktiviti sepanjang Syawal.

Namun, dalam baki beberapa hari ini, saya ingin menyentuh perasaan kita lantaran usia Ramadan yang sampai ke penghujungnya.


Kanak-kanak semestinya golongan paling gembira dan teruja menyambut hari raya. Namun, bagaimana pula dengan kita yang bukan kanak-kanak? Mungkin ada yang gembira kerana ‘musim kebuluran’ sudah berakhir. Sekarang boleh makan seperti biasa dan tidak perlu ‘curi-curi’ makan pada siang hari, berpura-pura lapar berpuasa, selain mungkin ada golongan yang rasa biasa saja.

Bagi mereka, Ramadan dan bulan lain sama saja. Yang membezakan Ramadan ialah tidak boleh makan pada siang hari.

Tiada usaha untuk merebut keberkatan melakukan amal dan ibadat dalam bulan ini. Mungkin kerana ia tidak nampak ganjarannya secara fizikal berbanding hasil kerja di dunia.

Bagaimanapun, mereka yang faham kebesaran Ramadan pasti akan ‘pulun sakan’ beramal mencari keberkatan dan mengharapkan sepanjang tahun tiada bulan lain melainkan hanya Ramadan.

Peluang sebulan yang ada dimanfaat sebaik mungkin dan mereka pasti sedih apabila Ramadan berakhir kerana bimbang tidak dapat bertemu lagi pada tahun depan.

Diriwayatkan oleh Jabir RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila tiba akhir Ramadan, maka langit, bumi dan malaikat menangis kerana adanya musibah bagi umat Muhammad SAW.” Lalu sahabat bertanya, musibah manakah? Lantas Rasulullah menjawab, berakhirnya Ramadan kerana dalam bulan itu doa dikabulkan, sedekah diterima, kebaikan dilipatgandakan dan seksaan dihentikan.” Sewaktu tibanya 10 malam terakhir Ramadan, Rasulullah menegakkan malam berkenaan dengan membaca al-Quran dan bersedekah, iaitu antara amalan paling disukai baginda.

Bagaimana pula keadaan kita sewaktu menempuh 10 malam terakhir ini? Adakah kita berusaha menghidupkan amalan pada tengah malam atau tidur mati bersulamkan dengkuran? Adakah kita tergolong dalam kategori pemurah atau ahli kumpulan ‘bakhil bin kedekut’? Marilah kita muhasabah diri dan menilai pencapaian Ramadan kita, tahun ini.

Bagi yang berhasil menjalankan puasa secara sempurna, Allah menjanjikan ganjaran sangat besar dengan melipatgandakan pahala ibadat serta mengampuni dosa yang pernah dilakukan.

Jiwa mereka bersih dalam keadaan fitrah seperti bayi baru lahir dan belum ada sedikitpun salah dan dosa.

Ahli tafsir menjelaskan, dosa yang diampunkan Allah ialah dosa antara kita (makhluk) dengan Allah dalam konteks hubungan manusia dengan Allah manakala dosa dalam konteks hubungan manusia dengan manusia masih tetap ada.

Justeru, Aidilfitri adalah platform terbaik untuk kita ziarah-menziarahi, merapatkan silaturahim dan memohon kemaafan sesama kita.

Jika ‘graf borang’ muhasabah atau penilaian Ramadan kali ini dalam paras ‘lulus’, kategori baik atau cemerlang, seterusnya mari kita lihat pula keputusan ‘takwa’ dalam diri kita.

Tanda aras takwa terserlah melalui empat perkara seperti dijelaskan Saidina Ali Abi Talib iaitu, yang pertama adalah perasaan takut kepada Allah SWT.

Takut kepada Allah bermaksud kita takut melakukan maksiat atau perkara dilarang-Nya serta takut balasan azab dan seksaan Allah.

Sifat takut kepada Allah sebenarnya benteng pertahanan diri bagi orang beriman daripada nikmat dan tipu daya duniawi.

Perkara kedua adalah amalan kita berdasarkan al-Quran. Al-Quran adalah kitab agung kalam Allah yang lengkap mencakupi semua aspek kehidupan manusia, termasuk urusan ekonomi, politik, sosial, teknologi, sains, sejarah, ketenteraan dan undang-undang.

Membacanya saja dikira pahala. Untuk beramal dengan al-Quran, kita dikehendaki belajar memahami, meneroka dan menghayati isi kandungannya.

Perkara ketiga reda dengan sedikit yang ada pada diri. Sentiasa bersyukur dengan nikmat Allah beri tanpa mengira sedikit atau banyak.

Ini kerana sedikit atau banyak rezeki Allah beri bukan diukur dengan ketebalan atau nipis poket seseorang.

Allah Maha Pemurah dan jika kita hendak nilaikan nikmat oksigen untuk kita bernafas dalam sehari sudah tidak terhitung besarnya.

Justeru kita hendaklah sentiasa bersangka baik kepada Allah. Kita perlu percaya apa dianugerahkan-Nya pilihan terbaik buat diri kita.

Allah SWT dalam surah Ibrahim, ayat 7, berfirman: “Jika kamu bersyukur, nescaya kami tambah nikmat- Ku untukmu, dan jika kamu kufur, nescaya azab-Ku sangat pedih.” Perkara keempat dan terakhir pula, sentiasa bersiap sedia untuk bertemu Allah atau bersedia untuk mati.

Tiada seorang pun di dunia yang tahu bila, di mana dan bagaimana dia akan mati tetapi yang pasti, kematian itu datang secara tiba-tiba.

Kematian bermakna kita ‘berangkat’ meninggalkan dunia menuju alam barzakh, satu perjalanan jauh yang akan dilalui setiap makhluk Allah.

Lazimnya, jika hendak berjalan jauh, pasti kita ‘pack’ barangan keperluan sebagai bekalan dalam perjalanan.

Ia sama dengan diri kita. Sebelum dijemput tiba-tiba, kita penuhkan beg yang ingin dibawa dengan amalan sebagai bekal di akhirat.

Rasulullah SAW pernah ditanya seorang Ansar, siapakah paling cerdik di kalangan orang beriman. Baginda berkata orang paling cerdik ialah mereka yang banyak mengingati mati dan membuat persiapan menghadapi mati.

Ini adalah empat perkara yang perlu dilihat bagi meneliti nilai takwa kita. Jika ia wujud, sesungguhnya ‘akademi puasa’ yang kita jalani selama sebulan berjaya.

Namun, jika ‘markah penilaian’ di bawah paras lulus, manfaatkan masa yang masih ada sebaik-baiknya supaya bekalan untuk perjalanan di akhirat mencukupi.

Saya masih ingat penerangan seorang ustaz, puasa kita ibarat sehelai kain putih. Apabila seseorang itu melakukan perbuatan yang boleh menyebabkan pahalanya ‘kurus’, kain putih itu akan berlubang-lubang.

Jadi, dengan menunaikan zakat fitrah, ia akan menampal lubang pada kain itu.

Hal ini jelas seperti hadis daripada Ibnu Abbas RA, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Mewajibkan zakat fitrah itu sebagai pembersih bagi orang yang berpuasa daripada perbuatan yang sia-sia dan perkataan kotor dan sebagai makanan bagi orang miskin.

“Kerana itu, sesiapa yang menunaikan zakat selepas solat (Aidilfitri), ia adalah satu sedekah daripada sedekah biasa.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibn Majah).