Selasa, 24 April 2012

Tunai haji ketika muda

MENUNAIKAN haji di Makkah adalah impian setiap umat Islam. Walaupun diketahui rukun Islam kelima ini hanya wajib bagi mereka yang mampu tapi kerana istimewanya ibadat haji ini, ramai daripada kita menyimpan hasrat melaksanakannya dan mengumpul duit kerananya.
Tidak terkecuali diri saya yang sememangnya sentiasa memasang impian ketika remaja lagi untuk ke tanah suci.

Ketika itu saya hanya mampu memasang angan-angan selain berdoa kepada Allah agar membukakan jalan untuk saya ke sana suatu hari nanti. Maklumlah, saya bukanlah orang yang berada menyebabkan saya bertekad untuk mengumpul wang bagi merealisasikan cita-cita itu. Oleh kerana pendapatan yang sederhana serta batas-batas kewangan yang dilihat sebagai tembok penghalang, saya tidak tahu bila agaknya impian saya itu akan tercapai dan hanya mampu berdoa dipermudahkan.

Namun begitu, Allah telah mengatur perjalanan hidup hamba-hamba-Nya dengan sebaik-baiknya.

Siapa sangka, dengan kemenangan sewaktu menyertai program Imam Muda Kedua akhirnya melayakkan saya untuk menerima pakej hadiah untuk menunaikan haji di Makkah yang ditaja oleh Salamfone.

Alhamdulillah, tepat jam 11 malam (waktu di Malaysia) pada 25 Oktober yang lalu, saya bersama-sama jemaah haji yang lain akhirnya menjejakkan kaki di lapangan terbang Jeddah untuk memenuhi tuntutan rukun Islam yang kelima itu.


Menjadi tetamu Allah untuk menunaikan haji pada usia muda adalah nikmat yang tidak pernah tergambar dalam benak fikiran saya.

Benarlah sebagaimana firman Allah SWT menerusi surah Al-Baqarah, ayat 186, yang bermaksud: “Aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa, maka apabila ia berdoa kepada-Ku hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu.’’ Sebagai orang yang beriman, kita hendaklah sentiasa bersangka baik kepada Allah dengan mempercayai setiap doa yang baik itu lambat-laun pasti dimakbulkanNya Bagaimanapun, ia mungkin dimakbulkan dalam kadar segera ataupun lambat kerana hanya Allah yang mengetahui apa yang terbaik bagi setiap hamba-Nya.

Jadi, saya ingin mengimbas kembali nikmat haji ini dengan penulisan saya minggu lalu yang menyentuh mengenai taubat.

Sebenarnya, sewaktu balik daripada program di Jakarta, Indonesia baru-baru ini, saya ada berkongsi luahan dengan seorang kakitangan kerajaan di lapangan terbang.

Beliau menyatakan segelintir masyarakat terutamanya umat Islam mempunyai persepsi bahawa taubat hendaklah dilakukan melalui umrah atau haji. Ada asasnya juga pandangan beliau itu kerana kita sering mendengar di dalam dialog-dialog drama mahupun perbualan seharian, apabila diajukan soalan: “bila nak bertaubat?”, jawapan yang kadangkala kita dengar adalah, “...tunggulah aku pergi haji dulu.” Ini adalah persepsi yang perlu diperbetulkan kerana Allah tidak meletakkan syarat tempat untuk hamba-Nya memohon keampunan.

Allah suka dan sentiasa mendengar hambanya yang merintih memohon keampunan daripada-Nya.

Ini adalah berdasarkan firman Allah dalam Surah Az-Zumar ayat 53 yang bermaksud: “Hai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya, Dia jugalah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Jadi, kalau disingkap kembali hikmah di sebalik ibadah haji ke atas umat Islam, ibadah haji adalah rukun Islam kelima dan dikatakan juga sebagai rukun yang terakhir.

Pendek kata, ibadah haji adalah pelengkap kepada kesempurnaan rukun Islam. Meskipun begitu, pelaksanaan rukun Islam yang kelima ini agak berbeza daripada rukun Islam yang lain. Ibadah haji juga adalah kesempatan untuk bertaubat dan meminta ampun kepada Allah. Kewajipan ke atas umat Islam untuk mengerjakan haji ini adalah berdasarkan firman Allah, yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkar kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.” (Ali Imran: ayat 97).

Setiap ibadah haji yang sempurna memerlukan pengorbanan di segi tenaga, masa, wang dan perasaan yang perlu dicurahkan demi memenuhi tuntutan Allah.

Ibadat haji bukan saja berkehendakkan kita untuk mengorbankan tenaga, masa dan perbelanjaan yang banyak, bahkan ia juga membabitkan emosi kerana terpaksa berpisah dengan keluarga, harta kekayaan dan kampung halaman selain terpaksa menahan kemahuan nafsu ketika dalam ihram.

Selain itu, uniknya ibadah ini kerana ia cuma boleh dilakukan sekali setahun, iaitu dalam bulan Zulhijjah. Ibadah ini juga berkehendakkan kita untuk menunaikannya di Makkah al-Mukarramah di Arab Saudi, tidak seperti ibadah lain seperti solat lima waktu yang boleh dilakukan di mana- mana saja.

Ibadah haji juga memerlukan pengorbanan yang tinggi kerana kita perlu berasak-asak bersama jutaan umat Islam daripada seluruh dunia berbeza dengan ibadah lain yang tidak meletakkan syarat yang khusus dan lebih mudah dilakukan.

Itulah keunikan ibadah haji yang hanya terdapat di dalam agama Islam dan tidak wujud dalam agama lain. Malah, sewaktu melaksanakan haji, terdapat beberapa tempat yang mustajab untuk berdoa dan bertaubat.

Ibadah haji itu sendiri, jika dikerjakan dengan sempurna tanpa dicemari perbuatan- perbuatan keji, akan menyucikan diri seseorang itu daripada dosa seperti baru lahir ke dunia.

Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang melakukan ibadah haji ke Baitullah dengan tidak mengucapkan perkataan keji, tidak berbuat fasik, dia akan kembali ke negerinya dengan fitrah jiwanya yang suci ibarat bayi baru lahir daripada perut ibunya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kerana itu juga, saya katakan peluang menjejakkan kaki di tanah suci ini juga adalah platform istimewa untuk melaksanakan taubat.

Taubat di tanah suci melalui ibadah haji dan umrah adalah bonus untuk mereka yang mampu kerana di sinilah terletaknya tanah penuh berkat dan kiblat umat Islam.

Di sini jugalah antara tempat-tempat yang disarankan untuk berdoa serta memohon keampunan daripada Allah. Atas minat dan kesedaran tentang besarnya ganjaran menunaikan ibadah di tanah suci ini jugalah, saya pernah bercita-cita untuk membuka sendiri agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan jemaah ke tanah suci.

Alhamdulillah, Allah bukakan jalan dan saya bersama-sama rakan lain yang telah berpengalaman dalam menguruskan umrah kini dalam rangka menyediakan pakej Umrah bersama Imam Muda Hassan yang akan dilancarkan tidak lama lagi, di bawah kendalian syarikat saya sendiri.

Insya-Allah, ada kelainan melalui pakej umrah ini. Melalui program penyucian sanubari yang dirangka secara rapi, jemaah bukan saja dapat beribadah tetapi bakal mendapat input yang amat berguna sekembali mereka dari Tanah Suci nanti.